SELAMAT TAHUN BARU 2012 PRESIDEN PKA

Assalamualaikum wrt dan Salam Sejahtera
Terlebih dahulu marilah kita memanjat kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T di atas limpah kurnia dan inayahNya. Sama-samalah kita berdoa agar seluruh warga academia dalam keadaan sihat walafiat, diberi kesihatan dan kesejahteraan serta sentiasa dilindungi Allah S.W.T.

Kalendar baru tahun 2011 telah berakhir manakala kalender 2012 baru bermula kira-kira 15 minit yang lalu. Dikesempatan ini PKA mengucapkan selamat tahun baru kepada anda semua. Sebagai ahli ilmu kita bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kita dikurniakan umur yang panjang dan kesihatan yang sejahtera untuk melangkah ke tahun baru.

Kepada teman-teman yang berbangsa Cina, PKA mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina yang akan diraikan pada 23hb Januari nanti. Semoga tahun yang baru ini akan membawa keharmonian dan kebahagiaan kepada anda.

Bagi menghadapi tahun 2012, PKA ingin menyebut beberapa harapan yang boleh kita kongsi bersama:

Pertama: Membina strategi pembangunan insan melalui platform organisasi (building a people strategy through organization platform). Peluang pembangunan diri (modal insan) ini hendaklah direbut melalui pembelajaran berterusan dan amalan budaya berorganisasi melalui wadah rasmi PKA. Hasrat murni PKA ialah menjadi wadah dan platform dalam memastikan para akademia yang mempunyai tahap kompetensi yang terbaik, mendapat ganjaran yang setimpal dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Kedua: Pembangunan budaya berorentasikan prestasi (development of a performance oriented culture). PKA juga berasa amat bersyukur kerana sepanjang tahun 2011, PKA sentiasa maklum dan mengikuti pencapaian kejayaan demi kejayaan yang telah diraih oleh UTM. Tahniah dan syabas PKA ucapkan kepada anda semua yang komited dan bekerja keras. Ucapan yang khususnya kepada teman-teman academia yang mendapat berita menggembirakan melalui SBPA. Bagi teman-teman yang yang rasa terkilan sama-samalah kita berdoa agar perbincangan MAAC dengan KPT dapat menghasilkan khabar yang kita harapkan. Namun begitu kita harus terus berusaha gigih untuk meningkatkan capaian kejayaan yang relevan dengan perubahan masa.

Ketiga: Menerajui perubahan (leading change). Dalam menangani perubahan-perubahan yang berlaku, kita memerlukan champions of change di peringkat atasan, pertengahan dan juga di peringkat akar umbi. Pada hemat PKA kejayaan besar tidak akan tercapai sekiranya tiada sokongan, kombinasi dan persefahaman antara empat peringkat tersebut.

Keempat: Memupuk dan meningkatkan integriti (cultivate and enhance integrity). Lazimnya, satu perkara yang sukar untuk diatasi di dalam mana-mana organisasi ialah sikap warganya yang tidak jujur kepada organisasi dan diri sendiri. Sikap tidak jujur ini perlu diubah dan ditinggalkan. Jujur dan ikhlas dalam amalan dan tugasan merupakan asas yang utama untuk mendapat redha dan keberkatan Ilahi

PKA meyakini bahawa UTM memerlukan para academia yang mempunyai keperibadian yang mulia seperti amanah, jujur, ikhlas, dedikasi, bertanggungjawab dan sentiasa menjayakan prinsip dan amalan beragama yang menjadi moto universiti.

Komitmen yang kukuh merupakan asas organisasi yang berdaya maju. Sekiranya seseorang itu bersikap positif, dia akan suka bekerja dan akan berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan bagi mencapai hasil yang terbaik. Sebaliknya jika seseorang itu

bersikap negatif, dia sebenarnya tidak menghargai tugas dan tidak melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh.

PKA percaya sesungguhnya budaya kerja ilmuan perlu terus diperbaiki, dimantapkan dan ditingkatkan lagi. Sebaliknya amalan yang kurang sesuai dan gagal dilaksanakan, dikaji semula dan diganti dengan kaedah kerja yang lebih baik. Ini kerana amalan menilai prestasi dan pencapaian kerja yang lepas adalah sebahagian daripada proses pembelajaran yang perlu dilakukan secara berterusan kerana perubahan sentiasa berlaku dalam persekitaran. Menilai amalan kerja untuk maju lagi ke hadapan memerlukan pembangunan modal insan yang turut memerlukan pelaburan sewajarnya. Pembangunan dari segi ilmu, pengetahuan, kompetensi, kemahiran, motivasi, sikap, nilai dan pelbagai invisible human asset yang lain merupakan modal insan yang perlu digilap dan pelaburan yang terbaik bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan dalam sesebuah organisasi.

Akhirnya PKA sekali lagi mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2012. Harungilah hari-hari yang mendatang dengan semangat dan jiwa kental bagi meneruskan usaha-usaha untuk memajukan gedung ilmu yang kita sayangi. Sama-samalah kita menggembeling tenaga dan memadukan persahabatan untuk menjadi warga PKA. Sebarkan perutusan ini kepada semua para academia diperingkat fakulti dan bahagian. Marilah sama-sama kita menggalas tugas, menyebarkan berita dan mengajak teman-teman untuk menjadi ahli PKA
PKA BERSAMA ANDA


Prof Madya Dr Aminuddin Ruskam al-Dawamy

Presiden PKA


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *