Dan (pada saat itu) berkatalah pula seorang lelaki yang beriman dari orang-orang Firaun yang menyembunyikan imannya: “Patutkah kamu membunuh seorang lelaki kerana ia menegaskan: `Tuhanku ialah Allah? ‘ – sedang ia telah datang kepada kamu membawa keterangan-keterangan dari Tuhan kamu? kalau ia seorang yang berdusta maka dia lah yang akan menanggung dosa dustanya itu, dan kalau ia seorang yang benar nescaya kamu akan ditimpa oleh sebahagian dari (azab) yang dijanjikannya kepada kamu. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi pendusta. (al-Mumin, 40: 28)
Pelanggaran terhadap ‘demokrasi ilmu’ yang menyintap hati warga akademik, para ilmuan, pelajar dan masyarakat yang cintakan kebebasan ilmu. Sungguh mengejutkan, apabila Prof Dr Abdul Aziz Bari digantung tugas oleh Universiti Islam Antarabangsa (UIA) hanya kerana membuat kenyataan untuk membetulkan kekeliruan yang timbul. Ia hanya mengeluarkan pandangan sebagai ahli akademik yang mempunyai kepakaran dalam bidang undang-undang perlembagaan. Beliau telah menyumbangkan kepakarannya dan membuat banyak kenyataan dan telah siarkan dalam pelbagai media.
Sebagai pakar undang-undang Prof Dr Abdul Aziz bukanlah melakukan jenayah melainkan beliau hanya mengeluarkan pandangan dan kritikan berasaskan ilmu dan kepakarannya. Walapun kenyataan beliau menyentuh pihak tertentu seperti sultan dan pihak kerajaan, namun terang dan jelas kenyataan beliau masih dalam kerangka disiplin ilmu. Cuma yang berbeza disiplin ilmu yang dipegangnya berlainan dengan landasan ilmu pihak-pihak lain.
Sarjana dan ilmuan atau pakar bidang melandaskan pandangan dan pendapat dalam bidangnya secara jujur dan amanah adalah satu langkah yang bijak dan menepati disiplin ilmu sekalipun pandangan dan pendapat tersebut membuka ruang perbahasan dan perdebatan yang hebat. Namun yakinilah ia masih berada digelanggang ilmu dan disiplin para cendekiawan. Hujah dan debat adalah proses mencari kebenaran untuk menyuburkan minda dan kematangan. Prinsip keilmuan di mana-mana universiti dalam dunia ini ialah ‘hujah lawan hujah’ atau ‘fakta lawan fakta’ bukan ‘hujah lawan cerca’ atau ‘fakta lawan kekerasan’
Kebebasan akademik ini telah disaran oleh UNESCO melalui peruntukan dalam Recommendation Concerning the Status of Higher Education Teaching Personnel? yang dihasilkan melalui persidangan UNESCO pada 11 November 1997, seperti dalam Artikel 26 dan 27 yang berbunyi:
“the right to contribute to social change through freely expressing their opinion of state policies and of policies affecting higher education”
Pada hemat PKA UTM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, masih belum mampu menepati kualiti sebuah gedung ilmu yang bertaraf antarabangsa apabila melayani desakan pihak luar, mengambil tindakan menggantung tugas Prof Dr. Aziz Bari. Sekiranya amalan ini berterusan, maka masa depan university-universiti di Malaysia akan terus tersingkir dari senarai kelompok 400 atau 500 buah universiti terbaik dunia. Pendirian PKA selaras dengan kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang turut menyuarakan rasa terganggu dan sedih mendengar kes tersebut.
Sehubungan dengan itu sebagai warga akademik kami turut amat tersinggung dan teruja dengan perkembangan ini. Ia budaya yang tidak sihat dan amalan yang menyalahi disiplin yang murni serta mencabar kewibawaan imuan. Mahasiswanya dibelenggu dengan AUKU dan aku janji, kini pensyarahnya pula berdepan dengan tindakan yang mencemar kebebasan akademik.
Sehubungan itu, PKA UTM berdoa dan berharap semoga Prof. Dr. Abdul Aziz Bari segera dibebaskan dan penggantungannya ditarik balik.
PM Dr Aminuddin Ruskam
Presiden PKA UTM
Leave a Reply