Assalamualaikum wrt
Kepada Semua warga Kerja UTM. Hari ini hari Ahad, 1 Mei, hari pekerja. Hari pekerja buat kita semua di Malaysia, hari pekerja buat semua insan yang bekerja di seluruh dunia. Selamat hari pekerja diucap untuk semua kakitangan akademik dan seluruh warga UTM. Selamat Hari Pekerja buat anda semua. Pekerjaan anda itu adalah suatu sumbangan untuk kemajuan UTM dan negara kita Malaysia yang kita cintai.
Sebagai warga kerja yang berpegang dengan agama, harus kira sedari hari ini hari pekerja, hari untuk kita semua yang sentiasa bekerja untuk mengerjakan atau mematuhi suruhan Allah supaya kita beramal di dunia ini. Islam mengajar kita bahawa dunia ini adalah tempat untuk kita beramal, bercucuk tanam sementara di akhirat nanti adalah waktu ketika untuk kita menuai menadah hasilnya. Kerana itu semua kerja boleh menjadi ibadah.
Allah telah berfirman di dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 21 yang bermaksud:
“Wahai sekelian manusia, sembahlah tuhanmu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
Seruan ini Allah tujukan kepada semua manusia tidak kira orang Islam, orang yang beriman, orang yang durhaka atau pun orang kafir. Pendek kata, setiap manusia adalah dikehendaki oleh Allah supaya menyembahNya. Ada pun menyembah Allah itu bererti mengabdikan diri atau memberi baktinya kepada Allah SWT.
Pengabdian diri ini adalah dikehendaki oleh Allah secara total dan menyeluruh di dalam setiap aspek kehidupan manusia itu. Ini berdasarkan firman Allah swt dalam surah AzZuriat ayat 56 yang bermaksud:
“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Aku.”
Tegasnya, setiap jin dan manusia ini adalah dijadikan khusus untuk beribadah kepada Allah. Ertinya, apa saja yang dibuat oleh manusia, ia mesti merupakan ibadahnya atau pengabdiaan dirinya atau amal baktinya kepada Allah SWT. Tidak kiralah samada usahanya itu berupa usahanya dalam mencari rezeki, dalam membangunkan rumahtangga, dalam mengatur pendidikan anak-anak, dirinya atau pun keluarganya, dalam mengatur pergaulan masyarakat, dalam berekonomi, berjual beli, dalam berjuang dan berjihad dan dalam apa saja baik dalam tidur atau makan minum kita seharian, semuanya mestilah menjadi ibadah kepada Allah.
Ini jelas Allah gambarkan dalam sepotong firmannya yang lain dalam surah Ali Imran ayat 191 yang bermaksud:
“Orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, `Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia belaka’.”
Sebagai Rab sekelian alam Allah SWT menuntut dari setiap manusia supaya sentiasa, setiap saat dan ketika memberikan ibadah dan amal baktinya kepada Allah. Kerana itu, haruslah kita mengetahui bagaimana kita hendak mengisi setiap usaha dan ikhtiar kita agar ia menjadi ibadah kita kepada Allah SWT.
Ibadah terbahagi kepada tiga: petama ibadah asas, dan kedua ialah ibadah furu’ (cabang) yakni amalan-amalan utama dan yang ketiga ialah ibadah umum.
Ibadah asas ialah ibadah utama dan penting. Termasuk di dalamnya ialah keenam-enam rukun iman dan kelima-lima rukun Islam. Hukumnya fardhu ain yakni tiap-tiap orang wajib menyakini dan beramal dengannya. Tanpa ibadah asas seseorang itu tidak beriman.
Ibadah cabang atau ibadah furu’ ialah yang berkaitan dengan fardhailull `amal (amalan utama). Diantaranya seperti sembahyang dhuha, sembahyang witir, sembahyang tahajjud, zikir yang tertentu dan lain-lainnya.
Manakala ibadah umum termasuklah semua kegiatan hidup kita yang kita lakukan setiap hari. Bermula dari kita mengatur diri, anak isteri rumahtangga, kampung halaman hinggalah kepada soal-soal pendidikan, mengurustadbirkan universiti, ekonomi, masyarakat, politik, sehingga ke persoalan dalam dan luar negeri. Kalaulah semua dapat kita aturkan sebagaimana yang Allah kehendaki maka ia akan jadi ibadah yakni kita akan diberi pahala. Sebaliknya kalau kita cuai mengatur hidup kita tidak mengikut syariat, maka rugilah kita.
Hakikatnya apa saja kerja yang kita lakukan untuk jadi ibadah, ia mesti menempuh lima syarat. Apabila setiap kerja kita, yang kita lakukan menepati kehendak kelima-lima syarat itu, maka ia akan diterima sebagai ibadah, sebagai amal bakti dan sebagai satu pengabdian diri kita kepada Allah SWT sekiranya memenuhi syarat berikut:
i- Niat mesti betul
ii- Perkara yang dibuat sah / halal ikut syariat
iii- Perlaksanaan mesti betul.
iv- Natijah mesti betul
v- Tidak meninggalkan perkara yang asas (ibadah asas).
Islam juga menyeru kita untuk melaksanakan semua pekerjaan kita dengan penuh kesungguhan dan mendapatkan natijah terbaik dalam apa jua pekerjaan soleh yang kita kerjakan.
“Sesungguhnya Allah menyukai pekerjaan hambaNya yang dilakukan dengan penuh kesungguhan”
Kalau kita amati saranan ini, orang Islamlah sewajarnya kehadapan, lebih rajin dan lebih bersungguh dalam melakukan pekerjaan mereka kerana di sana selain mendapatkan bahagiannya daripada kemakmuran dunia, ia juga adalah suatu amal yang disukai oleh Allah dan mendapat pahala apabila melakukannya. Sebaliknya apa yang dapat kita lihat, orang-orang bukan Islam walaupun tiadanya ikatan antara mereka dengan hari akhirat serta persoalan dosa dan pahala, namun mereka cukup rajin bekerja, rajin berusaha sehingga mampu untuk memakmurkan dunia ini dengan apa yang mereka kehendaki.
Oleh itu, bersempena hari pekerja yang disambut pada hari ini, PKA mengajak semua warga kerja UTM memuhasabah diri, bagaimana pekerjaan dan amal yang telah kita lakukan selama ini. Baik belajar, menuntut ilmu, menyampaikan ilmu, mengurustadbirkan institusi ilmu, termasuk juga berdakwah mengajak manusia kepada Islam atau apa-apa jua pekerjaan kita bahkan walau di mana jua bidang kerjaya yang kita ceburi. Sejauh mana kita telah melaksanakan pekerjaan dan amal di dunia ini dengan sebaiknya, bahkan sejauh mana pula kita telah melakukan pekerjaan tersebut dengan bersungguh-sungguh semata-mata menyahut perintah Allah dan mengharapkan keredhaanNya.
Sama-samalah kita koreksi dan periksa diri kita sendiri, moga-moga segala yang kita lakukan mendapat tempat di sisi Allah dan dikira oleh Allah sebagai amal soleh yang memberatkan neraca kebajikan kita di akhirat kelak.
SELAMAT HARI PEKERJA BUAT SEMUA
Prof Madya Dr Aminuddin Ruskam al-Dawamy
YDP PKA 2010-2011